
KUALA TERENGGANU: Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) menyediakan peruntukan sebanyak RM18.9 juta tahun ini untuk pembangunan usahawan luar bandar di seluruh negara.
Ketua pengarahnya, Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi berkata, ini meliputi pelaksanaan pelbagai program, kursus dan bantuan peralatan bagi melatih usahawan di peringkat kampung.
Katanya, lima bidang fokus Kemas termasuk jahitan, dandanan diri, program komputer, seni tangan dan masakan.
“(Kemas) fokus kepada melahirkan usahawan rintis. Mereka yang baru nak mulakan perniagaan, kita bantu dengan peralatan dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pada program Jom Masuk Kampung di Kampung Pulau Manis di sini, hari ini.
“Kita ada kursus jangka pendek dan jangka panjang… yang tak ada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pun boleh ikuti program kita, seperti kursus komputer yang sampai ke tahap dua Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).”
Ahmad Kamal Idris berkata, pihaknya juga meletakkan sasaran untuk melahirkan seramai 1,500 usahawan setahun melalui pelbagai program keusahawanan termasuk Quick Win Kemas.
Sementara itu, katanya, Terengganu merupakan lokasi ketiga penganjuran program Jom Masuk Kampung selepas Wilayah Persekutuan, Selangor dan Perlis.
Menurut beliau, program yang melibatkan semua lapisan masyarakat termasuk pemimpin masyarakat, agensi kerajaan dan rakyat dari akar umbi itu sentiasa mendapat sambutan dan berjaya menyatupadukan masyarakat setempat.
“Kemas memperuntukkan RM700,000 untuk penganjuran program Jom Masuk Kampung di 14 negeri.
“Insya-Allah kita adakan program di semua 14 negeri dalam tahun ini juga,” katanya.