
PETALING JAYA: Kemerosotan nilai ringgit berbanding dolar Singapura (SGD) dijangka memanfaatkan sektor pelancongan di Johor, kata pengusaha hotel.
Pengerusi Persatuan Pemandu Pelancong Johor, Jimmy Leong menjangkakan lebih ramai rakyat Singapura ke Johor kerana produk dan perkhidmatan kini menawarkan nilai wang lebih baik berbanding dahulu.
“Ini akan memberi manfaat kepada pelbagai perniagaan berkaitan pelancongan, malah melimpah ke destinasi di luar Johor bagi mereka yang mengambil satu atau dua hari untuk bercuti di Malaysia.
“Secara keseluruhan, ia mewujudkan keinginan untuk hanya memandu atau merentas sempadan dan ini dengan mudah boleh meningkatkan hasil daripada 5% hingga 10%,” katanya kepada FMT.
Pada 13 Jun lalu, ringgit jatuh ke paras terendah baharu RM3.4384 berbanding dolar Singapura. Khamis lalu, ia terus menyusut kepada RM3.4674.
Penganalisis berkata, dolar AS dan dolar Singapura yang kukuh, dengan data ekonomi lebih lemah daripada jangkaan menjejaskan nilai ringgit.
Leong yang juga presiden Majlis Pemandu Pelancong Malaysia berkata, hanya pasaran produk keluaran tempatan akan mendapat manfaat daripada kemerosotan ringgit kerana produk import akan menjadi lebih mahal.
Katanya, pengusaha hotel dan pemilik taman tema yang bergantung kepada teknologi import perlu mengeluarkan lebih banyak wang untuk kerja baik pulih serta penyelenggaraan.
Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia cawangan Johor, Ivan Teo mengakui kadar penginapan hotel di negeri itu meningkat, tetapi ia biasa berlaku, khasnya ketika hujung minggu panjang.
Katanya, pengusaha hotel mencari jalan untuk menganjurkan acara seperti konvensyen bagi memastikan kadar penginapan tinggi.
Dengan ringgit mencecah paras terendah dalam sejarah berbanding mata wang negara jiran, Teo menjangkakan kadar penginapan hotel akan meningkat dengan ketara disebabkan kemasukan pelancong dari Singapura.
“Saya rasa ia dengan mudah boleh meningkat 20% lagi.”