
PETALING JAYA: Seorang lelaki berusia 30 tahun memberi alasan sibuk bekerja sehingga terlupa memperbaharui cukai jalan kenderaan untuk kereta Ferrari 488 Spider dipandunya.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor Khairul Khar Yahya berkata kenderaannya itu diperiksa pada operasi harian di stesen penguatkuasa Elmina JPJ Selangor.
“Pemeriksaan lanjut mendapati lesen kenderaan motor (cukai jalan) telah tamat tempoh.
“Alasan yang diberi pemandu terbabit ialah kesibukan kerja dan lupa,” katanya menurut Sinar Harian.
Beliau berkata, rondaan dan pemeriksaan di lokasi lain turut mengesan 126 kesalahan antaranya membabitkan lesen memandu kompeten (CDL) (21 kes), cukai jalan tamat tempoh (19 kes), tiada perlindungan insurans (19 kes) dan teknikal (54 kes).
Operasi sekitar Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor, Lebuhraya Damansara-Puchong dan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam.