
SEPANG: Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata pihak berkuasa menyiasat kekecohan didakwa membabitkan seorang menteri yang cuba membantu seorang wanita warga China ditahan di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Sudah pasti, protokol keselamatan mesti diikuti,” kata Loke di pelancaran program diskaun pelajar MYAirline di KLIA Terminal 2.
“Kita serahkan kepada pihak berkuasa lapangan terbang kerana mereka akan membuat siasatan secara terperinci.”
Terdahulu, portal Bebas News melaporkan seorang menteri membuat kecoh apabila masuk ke balai ketibaan untuk membantu seorang warga China yang ditahan daripada masuk ke negara ini.
Menteri itu juga dilaporkan memarahi polis bantuan KLIA dan pegawai imigresen ketika beliau cuba membantu wanita berkenaan.
Menurut laporan itu, ini adalah kali ketiga menteri tersebut berbuat demikian untuk menyelamatkan warga asing yang ditahan polis atau imigresen di KLIA.