
PETALING JAYA: Lebih satu tahun yang lalu, Ayez Shaukat Fonseka menarik perhatian ramai peminat sukan gusti itu apabila tampil berpakaian ala pahlawan Melayu pada program televisyen di Amerika Syarikat, ‘Reality of Wrestling’.
Ketika itu seakan ada sinar baharu buat sukan ekstrem berkenaan di Malaysia, kebanyakannya berpusat di pusat latihan APAC Wrestling milik Ayez yang turut melahirkan penggusti berhijab pertama di dunia, Nor ‘Phoenix’ Diana.
Diana juga disenaraikan dalam Forbes 30 Asia 2020 yang merangkumi 300 usahawan muda, pemimpin dan pencetus perubahan di seluruh Asia di bawah usia 30 tahun.
Namun kini gelanggang dibuka sejak 2014 itu tidak lagi menjadi tempat penggusti tempatan beraksi, apabila terpaksa ditutup kerana kekangan kewangan, Ayez mendakwa telah bertemu dengan pelbagai pihak termasuk Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.
“Saya ada berjumpa menteri untuk disediakan tempat latihan sebab kerajaan ada banyak kemudahan, saya minta satu ruang namun belum ada sebarang hasil lagi.
“Beliau bersetuju bahawa KBS (Kementerian Belia dan Sukan) perlu sokong usaha kami untuk bawa bakat tempatan ke peringkat antarabangsa,” katanya kepada FMT.
“Terbukti APAC Wrestling boleh bantu cuma kami perlu sedikit sokongan.”
Shaukat mengakui sememangnya bukan mudah untuk memperkenalkan sukan baharu di Malaysia dan mereka telah melalui jerih payah itu sejak 2014.
“Sokongan dana tak ada dan bila kita buat pertunjukkan gusti atau kelas latihan sambutannya tak menggalakkan.
“Jadi saya bergelut dengan kos operasi dan tak mampu nak kekalkan gelanggang itu,” katanya.