
PETALING JAYA: Ops Manis 2.0 dilanjutkan hingga 31 Julai ini bagi memastikan bekalan gula mencukupi di pasaran, kata Ketua Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Azman Adam.
Beliau berkata, 6,276 pemeriksaan dijalankan di seluruh negara menerusi Ops Manis dan Ops Manis 2 .0 mulai 3 Mei hingga 30 Jun lalu.
Daripada 109 aduan diterima dalam tempoh sama, katanya, 20 kesalahan dikesan seperti mengenakan syarat penjualan tidak sah, menjual melebihi harga kawalan dan membungkus tanpa kebenaran pengawal bekalan.
“Selepas Ops Manis 2.0 dilanjutkan sehingga semalam, tiga kes dilaporkan membabitkan pelbagai kesalahan,” katanya menurut Harian Metro dalam sidang media “KPDN Terus Komited Memperkasa Penguatkuasaan Bagi Memastikan Kestabilan Kos Sara Hidup dan Ekonomi Negara” di Putrajaya.
Ops Manis dilancarkan 3 Mei lalu dan disambung Ops Manis 2.0 mulai 6 Jun, sebelum ia tamat pada 30 Jun lalu. Ia bagi memastikan tiada aktiviti menyorok gula dan mengelak pembelian panik yang boleh menyebabkan gangguan bekalan.
Dalam perkembangan lain, Azman berkata, KPDN menjalankan Ops Tiris bagi membanteras penyelewengan diesel bersubsidi dianggarkan bernilai hampir RM10 bilion tahun lalu.
Berdasarkan statistik penguatkuasaan mulai 1 Mac sehingga Rabu lalu, katanya 7,625 pemeriksaan dijalankan di seluruh negara, dengan 68 aduan diterima berhubung isu itu.
Daripada jumlah itu, katanya, 309 kes dibuka membabitkan nilai rampasan berjumlah RM27.03 juta.
Beliau berkata, 3.36 juta liter dirampas sepanjang tempoh itu dan 282 orang ditahan membabitkan 62 warga asing dan baki 220 lagi warga tempatan serta pemastautin tetap.