
DENGKIL: Selaras iltizam kerajaan perpaduan yang mahu menoktahkan kemiskinan tegar tahun ini, Tok Batin Juli Blat dari Kampung Sungai Buah, mahu masyarakat Orang Asli di kampungnya tidak ketinggalan untuk terlibat dalam inisiatif pendapatan rakyat (IPR) bagi merealisasikan agenda penting itu.
Juli, 54, berkata selepas IPR dilancarkan kerajaan pada Februari lalu, beliau tanpa berlengah terus memohon menyertai program bawah Kementerian Ekonomi itu yang diyakini mampu meningkatkan taraf ekonomi keluarganya.
Menurut Juli, inisiatif itu dilihat dapat membantu komuniti Orang Asli di kampungnya supaya tidak hanya bergantung kepada pertanian sara diri semata-mata dan berharap dapat melaksanakan projek pertanian yang mampu memberi impak kepada ekonomi penduduk.
Juli berkata, kebanyakan masyarakat Orang Asli memiliki tanah sendiri dan agak merugikan jika ia terbiar dan tidak diusahakan secara komersial kerana kebanyakan mereka mempunyai kemahiran serta ilmu dalam bidang pertanian.
“Menerusi program IPR yang sedang dimohon, saya bercadang untuk menjalankan pertanian dengan menanam cili padi berikutan permintaan yang tinggi di pasaran.
“Sekiranya diterima, saya ingin bersama penduduk kampung melaksanakan projek penanaman berskala besar dan dibantu oleh Jabatan Pertanian untuk dapatkan input yang lebih berguna dalam menghasilkan tanaman yang berkualiti dan dijual untuk pasaran yang lebih besar,” katanya kepada Bernama.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat berkata kerajaan akan melaksanakan IPR dengan sejumlah RM750 juta peruntukan disediakan tahun ini kepada Kementerian Ekonomi untuk menjayakan inisiatif itu.
Sementara itu, Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor, Johary Anuar, berkata sebanyak RM8,191,300 peruntukan kepada negeri tersebut disalurkan kerajaan persekutuan dan diselaras pihaknya dengan kerjasama antaranya pejabat daerah dan tanah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Pejabat Pembangunan Negeri (PPN) Selangor serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) bagi pelaksanaan program IPR.
Johary yang juga timbalan setiausaha kerajaan (pembangunan) Selangor berkata setakat 15 Jun lalu, seramai 850 ketua isi rumah (KIR) terlibat sebagai peserta program IPR yang akan dibantu sepenuhnya untuk memastikan pengurangan kadar kemiskinan di Selangor.
Berdasarkan statistik pendaftaran Bank Data Kemiskinan Nasional (eKasih) Selangor setakat 20 Jun lalu, seramai 6,209 KIR berdaftar bawah kategori miskin tegar dengan Sabak Bernam menjadi daerah tertinggi didaftarkan sebagai KIR miskin tegar seramai 1,510, manakala Sepang adalah terendah dengan bilangan 49 KIR.