
PETALING JAYA: Badan bertanggungjawab menguruskan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua yang membekalkan Kedah dan Pulau Pinang akan melaksanakan jadual kerja 24 jam, bagi mengelak berulangnya gangguan di dua negeri itu pada Mei.
Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) berkata jadual kerja 24 jam antara beberapa pendekatan mitigasi serta-merta yang dilaksanakan oleh Pengurusan Lembangan Sungai Muda (PLSM).
Tatacara operasi standard berkait kawalan banjir, bekalan air, dan pertanian di loji berkenaan akan turut dikukuhkan, katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, PLSM akan membaiki semua kerosakan sistem dan peralatan; menaiktaraf sistem kawalan dan pemantauan kepada teknologi terkini; dan membina tambakan alur limpah baharu pada aras lebih tinggi untuk mengelak sumber air mentah.
Ia juga akan menubuhkan badan jawatankuasa pengurusan baraj melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk badan profesional, akademi, dan badan bukan kerajaan; dan menggariskan elemen pemakluman awal, pencegahan, mitigasi, pemulihan serta tindak balas.
Pada 14 Mei lalu, LRA utama di Sungai Dua tidak dapat menyalurkan air daripada sungai tersebut apabila paras air menurun separuh ke tahap 1m, berbanding paras normal 2m, lalu menyebabkan gangguan bekalan asas, kata Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).
Gangguan mengakibatkan lebih 400,000 akaun pengguna di Pulau Pinang, manakala lebih 200,000 lagi di Kedah terjejas. Sungai tersebut merupakan sumber utama bekalan air mentah bagi Pulau Pinang.
Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor berkata kegagalan sensor di baraj sungai menjadi punca pintu air terbuka, sekali gus aliran air mengalir keluar ke laut.
SPAN pada 26 Mei menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Khas untuk mengenalpasti punca insiden dan mengesyorkan langkah penambahbaikan bagi agensi serta pihak berkepentingan yang berkaitan, bagi mencegah kejadian berulang.
Jawatankuasa itu mendapati gangguan disebabkan kegagalan sistem automasi di pintu baraj; ketidakcukupan sistem amaran atau penggera bagi mengesan aras air rendah; serta pemantauan had paras sungai air tidak seragam antara PLSM, Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (Sada), dan PBAPP, termasuk kelemahan koordinasi antara semua pihak terlibat terutama pada waktu kecemasan.
SPAN berkata Sada dan PBAPP masing-masing menanggung kos RM1.2 juta dan RM333,000 bagi kerja pemulihan.