
PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik berpendapat, peluang terbaik bekas menteri besar Selangor, Azmin Ali menang dalam PRN terletak di Batu Tiga atau Morib.
Asrul Hadi Abdullah Sani berkata, Azmin perlu bertanding di DUN separa bandar dengan majoriti pengundi Melayu, jika beliau mahu memenangi kerusi pada PRN 12 Ogos ini.
Azmin mencapai kemenangan besar di Bukit Antarabangsa buat penggal kedua pada 2018 ketika bersama PKR. Beliau berkata, Azmin tidak mungkin mengulangi prestasinya dengan Bersatu sekarang.
Menurutnya, Azmin tiada peluang mempertahankan Bukit Antarabangsa yang mempunyai pengundi Melayu dan bukan Melayu secara seimbang.

Bertanding sebagai calon Perikatan Nasional (PN), katanya, Azmin tidak akan mendapat sokongan pengundi bukan Melayu disebabkan retorik kaum dan agama dimainkan pemimpin PN yang akan mendorong pengundi bukan Melayu tidak memilihnya.
Asrul berkata, kerusi Batu Tiga dan Morib lebih sesuai untuk Azmin.
“PN dijangka bergantung kepada gelombang sokongan diterimanya pada PRU 2022 bagi memenangi kerusi di Selangor. Pilihan kerusi Azmin akan mencerminkan perkara ini, majoriti Melayu dan separa bandar,” katanya kepada FMT.
“Dengan undi Melayu akan berpecah antara Bersatu dan (Pakatan Harapan), sukar untuk Azmin mengulangi kemenangannya di Bukit Antarabangsa atau mempertahankan kerusi itu.”
Jumaat lalu, Azmin menepis khabar angin akan bertanding di Hulu Kelang, yang diwakilinya selama satu penggal dari 1999 hingga 2004.
Azmin yang mengetuai PN Selangor berkata, beliau menerima tawaran bertanding di beberapa kerusi lain, termasuk Morib dan Batu Tiga, tetapi keputusan muktamad beliau akan bertanding di kerusi mana terletak di tangan pemimpin PN.
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, Hulu Kelang bukan pilihan bijak kerana ia berhampiran Bukit Antarabangsa dengan pengundi mempunyai “citarasa sama dari segi politik”.
Hulu Kelang merupakan kubu kuat Amanah sejak tiga penggal lalu, manakala Bukit Antarabangsa terletak di bawah kerusi Parlimen Gombak yang pernah dimenangi Azmin.
“Bukit Antarabangsa atau Hulu Kelang tiada bezanya dari segi peluang Azmin untuk menang,” kata Azmi.
Pada PRU 2022, Azmin gagal mempertahankan kerusi Parlimen Gombaknya yang dimenangi bekas rakan partinya, Amirudin Shari, dengan majoriti 12,729 undi.
Azmin mewakili Gombak selama tiga penggal atas tiket PKR.