
PETALING JAYA: Tengku Zafrul Aziz berkata tugasnya adalah mengenai pelaburan dan memperbetulkan persepsi negatif berhubung perkara itu, menjawab dakwaan beliau “over-excited” oleh Dr Mahathir Mohamad.
Katanya, bukan menjadi tugasnya untuk memperbetulkan apabila media salah lapor kenyataan bekas perdana menteri itu.
“Saya kerdil berbanding Tun. Cuma sekerdil saya, setakat hari ini saya menteri MITI (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri) bukan setiausaha akhbar Tun Mahathir.
“Tugas saya soal pelaburan dan betulkan sebarang persepsi negatif tentang kendalian pelaburan,” katanya di Instagram.
Terdahulu, Mahathir membidas Tengku Zafrul “over-excited” dengan laporan tidak tepat mengatakan beliau bertemu pelabur yang ingin melabur sehingga RM500 bilion.
Mahathir berkata, laporan itu diperbetulkan sendiri oleh penerbit akhbar tersebut tanpa permintaan daripadanya, dan kenyataan sebenar pelaburan dinyatakan beliau adalah RM500 juta dimuat naik menggantikan laporan asal.
Semalam, Tengku Zafrul dalam video di media sosialnya berkata kerajaan akan menyediakan layanan karpet merah jika benar ada pelabur sanggup melabur RM500 bilion di Langkawi.
Katanya, jika benar jumlah pelaburan itu, maka ia menjadi sejarah pelaburan terbesar bagi Malaysia.
Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan Mahathir mendakwa beliau bertemu beberapa orang yang berminat untuk melabur RM500 bilion di Langkawi.
Bagaimanapun, mereka akhirnya menuju ke Indonesia, Vietnam dan Filipina kerana tiada menteri yang sudi bertemu, dakwa bekas Ahli Parlimen Langkawi itu.
Sementara itu, Tengku Zafrul berkata jika betul ada pelaburan RM500 juta ke Langkawi, beliau meminta Mahathir memaklumkan kepada MITI butiran pelabur tersebut.
“Kami akan bantu memudah cara pelaburan tersebut. Berbalik kepada ulasan asal saya, saya dah sebut tak penting siapa yang bawa masuk pelaburan sebab bila pelaburan masuk, rakyat juga yang akan terima manfaat,” katanya.