
KUALA LUMPUR: Kementerian Ekonomi sedang menjalin kerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia merangka beberapa pilihan dasar untuk dibentang kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (Mten) merumus strategi terbaik meningkatkan gaji rakyat.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata bagi tujuan itu, sesi libat urus dengan pemegang taruh utama iaitu kerajaan, majikan, dan pekerja akan diadakan untuk mendapatkan pandangan semua pihak.
“Butiran dan mekanisme dasar akhir akan diputus berdasarkan pertimbangan menyeluruh termasuk kemampuan dan kesan kos kepada sektor swasta, pelaksanaan secara berperingkat dan persetujuan bersama tiga pihak antara kerajaan, majikan, dan pekerja,” menurutnya dalam kenyataan.
Beliau mengulas kenyataan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) hari ini yang mendakwa perkara dasar berkaitan gaji adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Sumber Manusia bukannya Kementerian Ekonomi.
Ahad lalu, Rafizi berkata, sektor swasta diharap turut komited membantu kerajaan merealisasikan Dasar Gaji Progresif membabitkan sektor swasta dan awam bagi menangani kenaikan kos sara hidup yang antara lain bertujuan merapatkan jurang ketara antara pertumbuhan gaji dan kenaikan kos sara hidup.
Rafizi berkata, Kementerian Ekonomi sememangnya bertanggungjawab mengurus perancangan ekonomi negara secara menyeluruh, namun sementara usaha memperbaiki struktur ekonomi lain diteruskan, ia juga akan memberi penekanan kepada aspek kenaikan gaji pekerja yang adil kepada semua pihak.
Beliau berkata, gaji tidak setara dengan kos sara hidup adalah isu pokok menghalang kepada peralihan Malaysia ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, manakala kebergantungan kepada pekerja berkemahiran rendah juga antara punca gaji tidak seimbang dengan nilai hasil pekerja dalam ekonomi.
“Nisbah gaji pekerja (CE) Malaysia kepada Keluaran Dalam Negara Kasar bagi tahun 2019 adalah 35.9%, jauh lebih rendah daripada negara maju lain seperti Jerman (59.4%), United Kingdom (55.5%), Australia (46.9%) dan Republik Korea (46.8%).
“Kadar gaji penengah benar dan gaji kemasukan baharu telah merosot selepas pandemik dan kekal lebih rendah berbanding tahap sebelum pandemik,” katanya.
Rafizi juga berkata, mandat Kementerian Ekonomi ialah menyelesaikan isu struktur ekonomi yang boleh memperlahan pertumbuhan ekonomi negara seperti itu.
Katanya, pertumbuhan gaji juga antara fokus utama reformasi struktur untuk mencapai sasaran CE negara seperti yang dinyatakan dalam Rancangan Malaysia ke-12.