
KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim atau lebih dikenali Mat London, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini kira-kira 5.57 pagi tadi.
Mengesahkan perkara tersebut, anaknya Salmany Akir Ahmad, 42, berkata Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 74 tahun akibat jangkitan paru-paru selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HKL sejak 16 Jun lalu.
Beliau berkata, jenazah bapanya dibawa ke Masjid Al-Mardhiyah Taman Melawati dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Klang Gate, Taman Melawati selepas solat Jumaat.
Katanya, Allahyarham merupakan bapa penyayang dan sering memastikan keluarganya berkumpul ketika majlis atau perayaan, meskipun anaknya tinggal berasingan.
“Saya duduk paling dekat dengan arwah, jadi kalau arwah tiada apa-apa aktiviti, kami akan pergi minum bersama. Arwah seorang bapa penyayang,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata, Allahyarham seniman yang sentiasa menjaga kebajikan rakan industri kreatif dan ketika negara berdepan pandemik Covid-19, beliau berjuang memastikan anak seni terus dibenarkan berkarya.