
BUTTERWORTH: Kerajaan memberi jaminan akan meningkatkan kemasukan pelajar etnik India ke program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam usaha mengurangkan tekanan kemiskinan dalam kalangan kaum itu.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim, berkata hal ini dimaklumkan kepada beliau oleh Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi selaku pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara yang sedang mengusahakan perkara itu.
“Saya diberitahu Ahmad Zahid, ada rayuan agar pelajar India diberikan peluang kepada akses ke TVET. Saya belum dapat jumlah pelajar etnik India ke TVET tetapi usaha sedang dilakukan,” katanya ketika berucap pada Program Ramah Mesra Bersama Masyarakat India Negeri Pulau Pinang di Arena Seberang Perai.
Turut hadir Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II P Ramasamy.
Anwar berkata, langkah itu merupakan antara usaha kerajaan bagi mengurangkan tekanan hidup rakyat, sekali gus menoktahkan kemiskinan tegar untuk semua termasuk kaum India di negara ini.
Mengulas rungutan pelajar India dan Cina yang tidak mendapat tempat di Kolej Matrikulasi meskipun meraih keputusan cemerlang, Anwar berkata, Kementerian Pendidikan di bawah Menteri berkenaan iaitu Fadhlina Sidek sedang menyelesaikan isu tersebut.
“Negara ini kita ada meritokrasi dan satu lagi ialah pendemokrasian untuk mengakses pendidikan. Kita kena seiring kedua-duanya.
“Saya beritahu Fadhlina, tidak usah buat kenyataan, tidak usah bising-bising, hanya dapatkan laporan penuh dalam masa satu dua minggu dan selesaikan isu ini,” katanya.