
PETALING JAYA: Aktivis dan ahli akademik menggesa Putrajaya mengambil pendekatan lebih holistik untuk menambah baik sistem pendidikan sekolah luar bandar walaupun mengalu-alukan perolehan terbaharu, peranti satelit Starlink untuk meningkatkan liputan internet.
Colin Nicholas dari Pusat Keprihatinan Orang Asli (COAC) mengalu-alukan keputusan meningkatkan liputan internet di kawasan luar bandar kerana ramai pelajar tidak mempunyai akses itu keciciran sekolah ketika pandemik.
“Orang Asli ketinggalan dalam banyak perkara terutama kewangan, pendidikan dan akses kepada kesihatan serta infrastruktur,” katanya kepada FMT.
Katanya, bagaimanapun liputan internet lebih baik di kawasan luar bandar tidak akan meningkatkan prestasi akademik pelajar secara automatik kerana pelbagai faktor mempengaruhi sistem pendidikan mereka, termasuk kemiskinan dan persekitaran serta program persekolahan yang tidak memuaskan.
“Ia juga bergantung kepada faktor lain seperti jenis kemudahan persekolahan, guru dan kurikulum, dan juga sama ada mereka dibuli oleh orang lain,” katanya.
Nicholas turut mencadangkan Putrajaya menyediakan komputer riba kepada pelajar Orang Asli kerana lebih separuh masyarakat itu hidup bawah garis kemiskinan dan ramai tidak mampu membeli peralatan tersebut atau membayar bil internet.
Pada 14 Julai lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan keputusan kerajaan membeli 40 peranti satelit Starlink untuk kegunaan universiti, kolej dan sekolah seluruh negara.
Starlink adalah peralatan komunikasi satelit daripada SpaceX yang menyediakan rangkaian internet menerusi beberapa satelit SpaceX di orbit bumi rendah.
Anwar berkata, anggaran kos setiap peranti antara RM10,000 hingga RM15,000 dan ia boleh meningkatkan liputan internet di kawasan pedalaman.
Penyelidik Orang Asli di Universiti La Trobe, Melbourne, Alberto Gomes, berkata Putrajaya harus menyediakan lebih banyak bantuan kewangan kepada pelajar luar bandar.
Beliau berkata, kerajaan perlu menggunakan liputan internet untuk merapatkan jurang antara pelajar luar bandar dan bandar.
“Daripada hanya membelanjakan wang untuk pelbagai kemudahan dan teknologi komputer, anda harus meletakkan sedikit pembiayaan ke dalam pertukaran (program) antara pelajar.
“Kita perlu mendidik murid di bandar mengenai Orang Asli dan (ia boleh dilakukan) bukan dengan mengajar tentang Orang Asli, tetapi menjemput Orang Asli menjadi guru. Pendidikan boleh menjadi jambatan penting antara kelompok yang terpinggir.
“Bolehkah perkhidmatan komunikasi dalam talian melakukannya?” katanya.
Gomes juga berkata, masyarakat Orang Asli mempunyai “nilai ekologi yang bermakna” untuk disumbangkan, seperti “pandangan mereka tentang pemilikan dan kemurahan hati”, berbeza dengan “ketidakpuasan masyarakat bandar terhadap apa sahaja harta-benda dimiliki mereka”.
“Di sinilah sedikit perhatian harus diberikan kepada nilai ekologi Orang Asli, dan boleh diterapkan ke dalam sistem pendidikan,” katanya.
Kullin Djayang dari Kesatuan Guru Sarawak berkata, akses internet yang lebih baik di kawasan luar bandar akan meningkatkan celik IT pelajar di kawasan itu.
Katanya, pelajar luar bandar juga boleh melanjutkan pengajian tanpa berpindah ke kawasan bandar, kerana internet akan memudahkan mereka menjalankan penyelidikan.
“Bagaimanapun, kerajaan harus mengambil kira keadaan ekonomi penduduk kawasan luar bandar. Mereka biasanya terdiri golongan berpendapatan rendah dan sederhana, jadi bayaran internet sepatutnya berpatutan,” katanya.