
PETALING JAYA: Kekosongan jawatan di fasiliti berkaitan, termasuk Hospital Kuala Lumpur (HKL), kerana perpindahan doktor akan diisi, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.
Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa peka dan memantau isu kekurangan petugas di fasiliti kesihatan kerajaan seluruh negara agar tahap kesihatan rakyat sentiasa terpelihara.
“Kita sedang melakukan proses pemindahan doktor yang mendapat penempatan tetap merangkumi semua tempat di seluruh negara.
“Bila doktor keluar, kita akan gantikan kekosongan itu dengan doktor lain,” katanya selepas melakukan lawatan kerja ke Hospital Sultanah Maliha (HSM), Langkawi, lapor Berita Harian.
Tambahnya, operasi HKL tidak terjejas walaupun akan berlaku perpindahan doktor kerana pemetaan sudah dilakukan bagi memastikan doktor yang keluar diganti semula.
Terdahulu, portal CodeBlue melaporkan HKL dijangka mengalami kekurangan petugas selepas 300 pegawai perubatannya dijangka dipindahkan keluar dari Lembah Klang.
Mulai hujung bulan ini, kira-kira 1,000 pegawai perubatan yang bertugas di hospital sekitar Kuala Lumpur dan Selangor akan dipindahkan, majoritinya ke Sabah dan Sarawak, lapor portal itu memetik sumber.