
PETALING JAYA: Pempengaruh media sosial yang didakwa melakukan gangguan seksual terhadap Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman sedia bekerjasama dalam siasatan polis ke atasnya.
Muhammad Faiz Basirun, 21, berkata dia akan memberikan keterangan di IPD Bentong esok bagi melengkapkan siasatan yang dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
“Saya bukan buat jenayah besar pun, banyak lagi isu lain yang (ahli politik) nak kena fikir tetapi dia (Young Syefura) pilih cara itu, tak apalah saya sedia bagi keterangan,” katanya kepada FMT.
Pempengaruh itu dilaporkan memuat naik video mempertikaikan cara Young Syefura atau lebih dikenali Rara berpakaian di pentas ceramah Malaysia Madani di Kedah pada 15 Jul lalu.

Faiz yang berasal dari Langkawi mempertahankan tindakannya itu susulan kritikan Young Syefura terhadap Menteri Besar Kedah Sanusi Nor yang digelarnya “loqlaq” (tidak beradab).
Menurutnya, kritikannya terhadap cara Young Syefura berpakaian itu tidak lebih daripada teguran seorang Muslim kepada Muslim yang lain dan tidak menjatuhkan martabatnya sebagai wanita seperti didakwa.
“Jauh dari sudut hati, tak ada niat saya nak buat gangguan seksual pada dia,” katanya.
Faiz turut mendakwa dirinya menerima sokongan daripada pelbagai termasuk Sanusi yang datang bertemunya.
“Sebagai orang biasa, anda ada? menteri besar datang jumpa anda sendiri? Saya tak telefon dia, saya tak hubungi, tak pernah kenal dan tak pernah bersemuka dengan dia. Tapi dia bagi sokongan dan peluk saya,” katanya.