
JEMPOL: Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini menyerahkan unit peranti satelit Starlink pertama kepada Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Peranti itu akan digunakan di kampus Kuala Pilah, Negeri Sembilan, menjadikannya institusi pendidikan tinggi (IPT) pertama di negara ini yang akan mengguna pakai teknologi berkenaan.
Peranti tersebut diserahkan perdana menteri kepada Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM Dr Mohd Sazili Shahibi di reruai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sempena Karnival Segalanya Felda Peringkat Felda Wilayah Raja Alias di Dataran Seri Jempol di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dan Pengerusi SKMM Mohamad Salim Fateh Din.
Media sebelum ini melaporkan kerajaan bercadang memasang 40 peranti satelit Starlink di IPT bagi membantu menaik taraf capaian Internet lebih baik di kampus.
Cadangan itu tercetus hasil persidangan video perdana menteri secara maya bersama Ketua Pegawai Eksekutif SpaceX Elon Musk pada 14 Julai.
Anwar yang juga menteri kewangan dilaporkan berkata, IPT diberi keutamaan oleh kerajaan selepas menerima aduan daripada pelajar hasil lawatan beliau ke beberapa buah universiti di seluruh negara.