
PUTRAJAYA: Seorang pemimpin Warisan menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar menyiasat dakwaan bahawa syarikat swasta mengaut keuntungan daripada penjualan air di Sabah.
Ketua Penerangan Azis Jamman mendakwa kerajaan Sabah menyediakan air kepada syarikat swasta yang kemudian menjualnya kepada pengguna pada harga 10 hingga 15 kali lebih mahal.
“Menteri Kerja Raya Sabah (Shahelmey Yahya), yang bertanggungjawab dalam hal berkaitan air, berkata jabatan air sedang mengurangkan penjualan air kepada syarikat swasta,” kata Azis, sambil menambah Warisan percaya ini umpama “pengakuan bersalah” di pihak kerajaan Sabah.
Azis bercakap kepada pemberita selepas mengiringi penduduk Sabah Loi Kok Liang membuat laporan kepada SPRM berhubung isu itu.
Semalam, The Star memetik Shahelmey sebagai berkata, pihak berkuasa sedang menyiasat dakwaan wujudnya pihak mengaut keuntungan daripada penjualan air.
Katanya, beliau menerima banyak laporan bahawa syarikat membuat keuntungan berlebihan dan jabatan air memotong bekalan kepada syarikat swasta.
Shahelmy juga berkata, walaupun kegiatan membeli dan menjual air tidak menyalahi undang-undang, terdapat pihak yang menjual air sehingga RM28 per meter padu sedangkan harga dari depoh hanya RM3 per meter padu.