
PETALING JAYA: Seorang tahanan meninggal dunia ketika dirawat di sebuah klinik kesihatan di Beluru, Sarawak Isnin lalu.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Azri Ahmad berkata, lelaki berusia 50 tahun yang ditahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan itu, mengadu sakit dada dan sukar bernafas ketika dalam perjalanan ke IPD Marudi.
“Dia segera dibawa ke Klinik Kesihatan Beluru untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan.
Tetapi, katanya, lelaki itu disahkan meninggal dunia oleh pembantu perubatan klinik pada 10.30 malam Isnin dan mayatnya dibawa ke Hospital Miri untuk bedah siasat.
Beliau berkata, Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) JIPS Bukit Aman akan menjalankan siasatan ke atas kes itu.