
KUCHING: Premier Sarawak Abang Johari Openg mengesahkan Yang Dipertua Negeri Taib Mahmud akan pulang ke negeri itu dalam masa terdekat selepas menghabiskan percutiannya di luar negara.
Tanpa mendedahkan tarikh kepulangannya, Abang Johari berkata Taib masih berehat dan status kesihatannya dilaporkan semakin pulih.
“Beliau pergi bercuti di luar negara dan jatuh sakit…keadaannya ketika ini pulih dan beliau sedang berehat. Beliau akan balik (ke Sarawak),” katanya selepas Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat Sarawak di sini.
Beliau berkata demikian bagi menafikan dakwaan palsu tular di media sosial sejak kebelakangan ini berhubung situasi kesihatan Taib.
Semalam, satu poster hitam putih palsu tertera nama dan tahun kelahiran Taib yang turut disertakan kapsyen al-Fatihah dan logo sebuah stesen televisyen tempatan tular di media sosial.
Stesen televisyen itu sudah menafikan poster berkenaan dan memohon maaf kepada keluarga Taib.
Selasa lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, Perjanjian Malaysia 1963 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata Taib kini dalam fasa pemulihan dan tidak memerlukan pelantikan pemangku Yang Dipertua Negeri.
Pada 23 Jun lalu, Pejabat Astana Negeri turut membuat laporan polis berhubung maklumat palsu mengenai tahap kesihatan Taib yang disebarkan di media sosial.