
NEW YORK: Bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng diberi penangguhan saat akhir bagi hukuman penjara 10 tahun atas peranannya dalam penyelewengan dana 1MDB.
Ng, yang dijadual memulakan hukumannya pada 7 Ogos ini, dibenar menangguhkan penyerahan diri selama 30 hari bagi membolehkan rundingan Washington dan Putrajaya berhubung kemungkinan dia kembali ke Malaysia bagi membantu siasatan berterusan 1MDB.
Jika dia dibenarkan pulang ke Malaysia, Ng akan bebas untuk tempoh lebih lama lagi, fakta yang ditekankan pendakwa raya terhadap penangguhan itu dalam prosiding di depan hakim daerah AS, Margo Brodie di Brooklyn, New York, semalam.
“Dia mahu kembali ke Malaysia, di mana dia akan terus bebas,” kata penolong peguam AS, Drew Rolle.
Pendakwa raya berkata, terdapat kepentingan awam tinggi untuk Ng memulakan hukumannya segera dan dia masih boleh membantu Putrajaya semasa dalam tahanan.
Peguam mewakili Ng, yang memohon penangguhan penyerahan diri selama 45 hari berkata, kerajaan Malaysia mahu Ng pulang mengikut perjanjian terdahulu dengan AS.
“Mereka mahu anak guam saya di Malaysia. Mereka mahu menyelesaikan kes mereka,” kata Marc Agnifilo yang mewakili Ng kepada hakim dalam prosiding pada pagi Jumaat.
Ng disabitkan bersalah pada April 2022 kerana bersubahat dengan bekas bosnya di Goldman, Tim Leissner dan ahli perniagaan buruan, Low Taek Jho (Jho Low) dalam skandal berbilion dolar 1MDB.
Pendakwa raya berkata, Ng menerima berjuta dolar dalam bentuk sogokan daripada tiga perjanjian bon yang diatur Goldman Sachs untuk 1MDB.
Bank itu membayar lebih USD2.9 bilion, penalti tertinggi dalam sejarah AS, dan lebih USD5 bilion di seluruh dunia atas peranannya dalam skim itu.
Ng, yang berdepan pertuduhan di Malaysia, diekstradisi untuk menghadapi pendakwaan di AS terlebih dahulu.
Ketika meminta Brodie meringankan hukumannya Mac lalu, Ng dilaporkan berkata, dia menderita sepanjang enam bulan dipenjara di Malaysia sebelum dihantar ke New York. Dia mendakwa ditahan dalam keadaan tidak bermaya dan kadangkala dirantai bersama 20 tahanan lain.
Rolle berkata, AS sedang berunding dengan Malaysia berhubung cara Ng boleh kembali selepas mula menjalani hukumannya. “Ia proses yang diselesaikan melalui perbincangan antara dua kerajaan berdaulat.
Brodie membenarkan permohonan untuk rundingan diteruskan antara dua kerajaan kerana kepentingan mereka “mungkin tidak sejajar”.
“Terpulang kepada negara itu berhubung apa yang mereka mahu lakukan dan bagaimana boleh melakukannya.
Sebelum ini, NG diberikan penangguhan tiga bulan untuk memulakan hukumannya. Dia memohon penangguhan itu untuk meluangkan lebih banyak masa bersama isteri dan anak perempuannya berusia 10 tahun, yang terbang ke New York dari Malaysia.