
PETALING JAYA: Putrajaya tidak menolak kemungkinan melakukan rombakan atau mengambil alih Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), jika usaha menyelesaikan masalah air di negeri itu tidak berhasil dan gagal mendapat kerjasama, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Katanya, tindakan itu boleh dilakukan menerusi Akta Industri Perkhidmatan Air (Wasia).
“Susulan pertemuan antara kerajaan Sabah, Kelantan dengan kerajaan perpaduan, kami melihat beberapa projek yang perlu diberi keutamaan dan akan ada projek jangka pendek dan sederhana yang akan dilakukan bagi keperluan mendesak.
“Namun, pilihan untuk merombak AKSB kita tidak menolak kerana Tuan Ibrahim Tuan Man yang sebelum ini menjadi menteri pun memaklumkan kegagalan pengurusan AKSB dari segi tadbir urus dan kewangan.
“Jadi, di bawah Wasia, kita ada pilihan berkenaan dan kita tidak menolak sekiranya pendekatan lain diambil untuk menyelesaikan masalah air kini tidak berhasil dan tidak mendapat kerjasama AKSB serta kerajaan negeri,” katanya menurut Harian Metro selepas ceramah kelompok di Pasir Pekan, Kota Bharu malam tadi.
Beliau berkata, itu jalan terakhir dan ia perlu dilihat secara terperinci sehingga tiba masanya.
“Jika keadaan semakin kritikal, kita akan lihat sama ada perlu rombakan atau ambil alih. Setakat ini, kita belum lagi sampai ke tahap itu.”