
SEREMBAN: Ketua Wanita PKR Fadhlina Sidek membangkitkan kenyataan seksis dan bersifat “double standard” yang lazim didengar wanita dalam politik.
Fadhlina, yang juga menteri pendidikan berkata, beliau sentiasa berdepan dengan pelbagai cabaran pada peringkat parti dan kementerian, selain komen seksis daripada masyarakat umum.
Bercakap pada forum Wanita Question Time malam tadi, beliau menegaskan bahawa ahli politik lelaki tidak ditanya soalan yang sama mengenai kehidupan peribadi mereka seperti yang ditanya kepada ahli politik wanita.
“Soalan yang paling (selalu) orang tanya saya, sibuk-sibuk jadi menteri ni, suami siapa jaga? Anak ramai siapa jaga? Ini soalan-soalan seksis.
“Soalan ini tidak pernah ditanyakan kepada ahli politik lelaki,” katanya.
Ahli Parlimen Nibong Tebal itu menegaskan bahawa ahli politik wanita mesti mempunyai ekosistem menyokong untuk mengatasi keadaan di mana keupayaan mereka diperlekeh.
“Dalam situasi pimpinan negara dan politik, sangat penting kita mempunyai rakan khususnya, ekosistem ahli politik wanita yang boleh menjadi rakan bahu membahu kita.
“Tanpa ekosistem ini, sebenarnya memang sangat sukar untuk kita melalui kehidupan sebagai seorang ahli politik wanita,” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata, negara sedang berdepan generasi “lost boys”, berikutan lebih ramai wanita mendaftar di universiti.
Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, kadar kemasukan wanita di universiti sebanyak 80%, manakala lebih ramai lelaki akan mendapatkan Pendidikan Teknikal Dan Latihan Vokasional (TVET) atau terus bekerja dalam ekonomi gig.
“Bila habis belajar, siapa gaji lebih tinggi? Wanita,” jelasnya.
“Ini akan mengakibatkan krisis dalam perhubungan rumah tangga dan sebagainya.”