
GEORGE TOWN: Ketidakhadiran Zairil Khir Johari malam tadi pada sesi dialog awam untuk bertemu calon yang bersaing merebut kerusi Tanjong Bunga mengecewakan penduduk.

Seorang penduduk, yang juga aktivis pengangkutan awam Zulfikar Aziz, antara 60 penduduk yang hadir pada sesi itu, menggelar Zairil sebagai “pengecut” kerana tidak hadir.
Seorang lagi penduduk, David Giam, 60 berkata, beliau datang ke majlis itu dengan beberapa soalan yang ingin diajukan kepada Zairil.

Giam yang jelas berang berkata, ketidakhadiran Zairil akan mempengaruhi undiannya pada PRN 12 Ogos ini
“Saya takkan beritahu siapa yang akan saya undi, saya takkan beritahu orang lain siapa yang patut mereka undi. Tetapi malam ini, kita tahu siapa untuk tak undi,” katanya.

Seorang lagi penduduk, George Aeria, 60, berkata Zairil “teruk mengecewakan penduduk Tanjong Bunga” apabila tidak hadir.
“Beliau tak mahu dengar suara kami. Kenapa kami patut simpan beliau lagi (sebagai Adun)?” soal Aeria, yang tinggal di Tanjong Bunga sejak berusia enam tahun.
Aeria juga berkata, beliau berharap kawasan itu mempunyai wakil rakyat seperti bekas Adun Teh Yee Cheu yang lantang bersuara dalam isu alam sekitar.
Sementara itu, dua lagi calon – H’ng Chee Wey daripada Perikatan Nasional (PN) dan Lee Chui Wah dari PRM – menyentuh tentang kebimbangan dan rancangan mereka jika mereka dipilih.
H’ng daripada Gerakan bercakap mengenai perancangan bandar yang buruk di Tanjong Bunga dan Pulau Pinang, memetik pembangunan kondominium di Tanjung Tokong yang memburukkan aliran lalu lintas di kawasan itu.
Beliau turut memberi jaminan kepada penduduk bahawa PAS tidak akan mengganggu kehidupan seharian mereka, sambil berjanji akan melawan mana-mana parti yang cuba berbuat demikian.
Sementara itu, Lee bercakap menentang projek tebus guna yang dijalankan di Tanjong Bunga dan kekurangan kawasan hijau di kawasan itu. Beliau turut menyentuh tentang pertambahan projek kondominium di kawasan itu.
Jika dipilih, katanya, beliau akan menggesa agar moratorium dikenakan bagi projek perumahan di kawasan itu sehingga draf rancangan tempatan Pulau Pinang diwartakan.
Ketika dihubungi, Zairil memberitahu FMT bahawa beliau tidak dapat hadir ke majlis itu kerana jadual berkempen yang padat semalam. Katanya, beliau tidak dapat menyusun semula jadual kerana hanya tinggal beberapa hari lagi untuk berkempen.