
PETALING JAYA: Putrajaya membidas kenyataan Timbalan Menteri Besar Mohd Amar Nik Abdullah bahawa “penduduk Kelantan boleh menggali sendiri telaga” yang disifatkan membimbangkan dalam menyelesaikan isu air di negeri itu.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad mengingatkan pembinaan telaga bagi pengambilan air bawah tanah harus mematuhi undang-undang dan garis panduan pihak berkuasa kerana risiko kandungan logam tinggi boleh membahayakan kesihatan.
“Kenyataan Nik Amar membayangkan kerajaan PAS lebih rela membiarkan rakyat menanggung beban kewangan menggali air bawah tanah yang akan membahayakan kesihatan sendiri tidak patut dibuat seorang wakil pegawai tinggi kerajaan dan berpendidikan dalam agama,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Mohd Amar yang juga naib presiden PAS dilaporkan berkata bahawa isu air dihadapi rakyat Kelantan terutama di kawasan kampung bukannya satu masalah besar, kerana penduduknya mempunyai pilihan apabila boleh membina air telaga tiub atau perigi.
“Orang kampung sendiri dia faham dan kadang-kadang kes itu (air) dia selesai sendiri. Contoh kalau tidak ada air kerajaan, dia bina telaga tiub dan gali perigi,” katanya.
Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, Kerajaan PAS sepatutnya menggunakan pendekatan yang lebih holistik dan proaktif bagi menangani isu keperluan asas rakyat yang bermasalah untuk mendapat bekalan air yang berkualiti, bersih dan konsisten.
Menurutnya, kenyataan Mohd Amar yang juga calon PAS bagi kerusi DUN Panchor itu membuktikan bahawa PAS sudah tidak lagi mampu memikirkan kaedah penyelesaian yang baik dan membiarkannya menjadi tanggungjawab rakyat.
Nik Nazmi berkata, kerajaan pusat akan terus memantau keadaan air di Kelantan dan komited menyelesaikan isu itu menerusi suntikan dana jangka pendek telah diluluskan selain reformasi struktur pengendali operasi air negeri itu.