
GOMBAK: Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berjanji akan membangkitkan isu tuntutan pampasan tanah Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bagi Orang Asli mengikut harga pasaran.
Zahid yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah turut berkata, kementeriannya telah bersetuju supaya Institusi Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (Tvet) khusus untuk golongan berkenaan ditubuh dan diaktifkan segera.
“Kita mahu 100% anak muda Orang Asli dilatih untuk mendapat kerja. Begitu juga di kalangan anak muda orang Asli yang berminat menjadi usahawan, institusi TVET juga akan memberi latihan kepada mereka.
“Dalam perkara ini bukan kerana pilihan raya. Jangan ingat ini janji pilihan raya, tetapi kerajaan Madani ini sangat komited untuk memaju orang asli di seluruh Malaysia,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Karnival Kerjaya Madani Bersama Hawa Malaysia di Dewan Serbaguna Jakoa Bt12, Batu Caves.
Zahid juga menyasar sekurang-kurangnya 400 anak Orang Asli seluruh negara masuk universiti awam dan swasta tahun ini, selepas sasaran kemasukan 300 kumpulan itu ke institusi pengajian tinggi tercapai tahun lalu.
“Mulai tahun ini, mana-mana Orang Asli yang mendapat tawaran, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) memberi tunai RM1,000 serta membelanjakan seluruh waktu pengajian kepada mahasiswa-mahasiswi orang Asli.
“Selain itu, anak Orang Asli yang belajar di universiti sama ada di Sabah atau Sarawak, tambang kapal terbang juga akan dibiayai Jakoa,” katanya.
“Jika ada pihak yang mengatakan Kerajaan Madani tidak mengambil kepedulian pada Orang Asli, saya telah beri antara perkaranya bukan sebab pilihan raya tetapi telah dilakukan oleh Jakoa,” katanya.
Februari lalu, Zahid mengumumkan kelulusan dana RM200,000 daripada peruntukan timbalan perdana menteri bagi pembangunan Majlis Belia Orang Asli Malaysia, manakala Jakoa pula menyumbangkan RM200,000 dalam bentuk peralatan bagi pertubuhan itu.
Beliau juga menyasarkan 800 belia orang Asli mengikuti program TVET tahun ini, berbanding lebih 700 belia tahun lalu.