
PETALING JAYA: Bekas naib ketua pemuda Umno Shahril Hamdan mendedahkan bahawa Umno Terengganu sebelum ini begitu yakin dapat memenangi kerusi-kerusi DUN pada PRN.
Pada PRN di enam negeri Sabtu lepas, Umno Terengganu gagal memenangi mana-mana antara 27 kerusi ditandinginya, meskipun menampilkan calon-calon berpengalaman seperti Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu Ahmad Said, yang juga bekas menteri besar.
“Saya difahamkan apabila bincang kerusi mana yang nak diagih sebelum PRN, kepimpinan Umno Terengganu yakin menang,” katanya dalam episod audio siar Keluar Sekejap hari ini.
Menurut Shahril, faktor kekalahan teruk pada PRN kali ini dikaitkan dengan isu kredibiliti Umno pada peringkat pusat, yang masih mengamalkan ‘budaya’ lama.
“Keutamaan dalam Umno masih lagi dengan budaya mengampu, yang tidak mahu cakap benda yang benar.
“Letak siapa pun dalam keadaan gelombang macam ini memang tidak akan menang, ” tambahnya.
Sementara itu, awal hari ini, media melaporkan BN Terengganu menerima dan menghormati keputusan PRN yang tidak memihak kepada mereka semalam.
Ahmad Said yang bertanding di DUN Kijal berkata, kalah atau menang sudah jadi adat bertanding, namun BN berbesar hati untuk menabur bakti kepada rakyat Terengganu.
Pada PRN semalam, BN mencatatkan prestasi terburuk apabila kecundang di kesemua 32 DUN ditandinginya di Terengganu.
Ahmad Said kecundang di DUN Kijal di tangan Ketua Bersatu Terengganu Razali Idris, yang menang dengan majoriti 3,758 undi.