
KUALA TERENGGANU: Ahmad Samsuri Mokhtar mengangkat sumpah sebagai menteri besar Terengganu bagi penggal kedua di Istana Syarqiyyah di Chendering hari ini.
Ahmad Samsuri, 53, yang juga Adun Ru Rendang, melafazkan sumpah memegang jawatan tersebut di hadapan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin pada 3.18 petang.
Turut berangkat pada Istiadat Perisytiharan Pelantikan Menteri Besar dan Melafaz Sumpah Jawatan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri itu, Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan dan Tengku Muhammad Muaz Sultan Mizan Zainal Abidin.
Naib presiden PAS itu akan menerajui pentadbiran negeri setelah gabungan PAS dan Bersatu memenangi kesemua 32 kerusi DUN Terengganu pada PRN Sabtu lepas.
Beliau memperoleh 20,927 undi dengan majoriti 17,286 undi, mengalahkan calon Pakatan Harapan Suhaimi Sulaiman.
Bapa kepada enam orang anak itu pernah menjadi setiausaha politik kepada presiden PAS, yang juga bekas menteri besar Terengganu, Hadi Awang dari 2008 hingga 2018.
Ahmad Samsuri buat pertama kalinya bertanding pada PRU14 pada 2018 dan meraih kemenangan dengan majoriti 6,028 di kerusi DUN Ru Rendang, menewaskan calon Barisan Nasional Nik Dir Nik Wan Ku, dan selepas itu beliau diangkat menjadi menteri besar.
Lebih dikenali sebagai Dr Sam, bekas ketua Jabatan Aeroangkasa Universiti Putra Malaysia (UPM) berkelulusan Doktor Falsafah (PhD) Kejuruteraan Mekanikal dari University Of Leeds, United Kingdom itu pernah menjadi antara rujukan penting dalam mengupas misteri kehilangan kehilangan pesawat MH370 dan nahas pesawat MH17.
Sepuluh Adun yang akan menganggotai Jawatankuasa Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Terengganu turut mengangkat sumpah pada istiadat sama.