
KULIM: Seorang remaja didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas tuduhan membunuh abang kandungnya di rumah mereka minggu lepas.
Remaja berumur 17 tahun itu mengangguk faham ketika tuduhan dibacakan, namun tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Sri Pracha Nanthini Balabeda kerana tuduhan membunuh bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Dia didakwa membunuh abangnya berusia 21 tahun dengan menikam tepat pada jantungnya di rumah mereka di Taman Mahkota pada kira-kira 10.10 pagi, 7 Ogos lepas.
Mahkamah menetapkan 26 Sept untuk sebutan semula kes.
Sementara itu, mahkamah yang sama menjatuhkan hukuman denda RM1,500 terhadap seorang lagi abang tertuduh berusia 26 tahun setelah dia mengaku bersalah membuat laporan palsu berhubung kejadian itu.
Lelaki itu didakwa membuat laporan bertulis di Balai Polis Kulim yang diketahui sebagai palsu dengan menyatakan adiknya mati akibat terjatuh di kandang kambing pada kira-kira 12.31 tengah hari, 7 Ogos lepas.
Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan kedua-dua kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Mohammad Syafiq Safiei, manakala peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, K Kiren Ram, mewakili kedua-dua tertuduh.