
PETALING JAYA: Menteri besar Terengganu yang baru dilantik semula, Ahmad Samsuri Mokhtar mahu terus ke “gear tiga” dalam menerajui negeri itu bagi penggal kedua.
Samsuri, yang pertama kali dilantik sebagai menteri besar pada 2018, dilantik semula mengetuai kerajaan negeri selepas Perikatan Nasional (PN) menyapu bersih kesemua 32 kerusi DUN Terengganu pada PRN Sabtu lepas.
Menyatakan bahawa beliau menghabiskan penggal pertamanya membina semula struktur kerajaan negeri, yang diwarisi daripada Barisan Nasional (PN) selepas PRU14, Samsuri berkata beliau mahu penggal kedua beliau ditandai dengan pelaksanaan dasar yang “lebih agresif dan pantas”.
“(Kerajaan negeri ini) penerusan daripada lima tahun lalu. Kerja di hadapan makin banyak dengan cabaran yang pelbagai,” katanya pada sidang media selepas mengangkat sumpah sebagai menteri besar hari ini.
“Sekiranya pada penggal yang pertama hari tu, saya bawa kerajaan dalam gear satu, kali ni saya tak masuk gear dua, terus ke gear tiga, kerana kita perlu lebih pantas untuk gerak kerja pada peringkat negeri.”
Beliau berkata, semua Exco, Adun dan penjawat awam akan diberi taklimat mengenai perubahan pendekatan kerajaan negeri.
Samsuri juga berkata, beliau berhasrat untuk terus memupuk hubungan yang baik dengan kerajaan persekutuan supaya dapat menguruskan pertindihan bidang kuasa mereka dengan berkesan.
“Apabila sebut kuasa bersama (bawah Perlembagaan Persekutuan), macam mana nak kongsi kalau tak bincang? Jadi mesti wujud perbincangan dan hubungan yang rapat (antara) kerajaan negeri dan pusat.”
Samsuri, 53, yang juga Adun Ru Rendang, mengangkat sumpah jawatan pada 3.18 petang tadi di hadapan Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah, Chendering, Kuala Terengganu.
Beliau mempertahankan kerusi Ru Rendang dengan menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) Suhaimi Sulaiman, dengan majoriti 17,286 undi. Samsuri memperoleh 20,927 undi.