
PETALING JAYA: Parti Progresif Sabah (SAPP) tiada hak untuk menafikan pembabitan parti nasional pada PRN Sabah, dijangka diadakan dua tahun lagi, kata seorang penganalisis.
Mengulas kenyataan Presiden SAPP Yong Teck Lee, Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata semua parti berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) di negeri itu boleh mengambil bahagian dalam proses demokrasi.
“Tiada mana-mana pihak boleh menghalangnya,” katanya kepada FMT.
Semalam, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah Ronald Kiandee turut menegaskan tiada mana-mana parti boleh menghalang parti politik lain mengambil bahagian dalam proses demokrasi di negeri itu.
Kiandee berkata, kenyataan Yong yang mahu hanya parti tempatan bertanding di PRN negeri itu dibuat atas kapasiti sebagai anggota Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tanpa mengira kedudukan di peringkat nasional.
Yong, bekas ketua menteri dari 1996 hingga 1998 itu dilaporkan berkata SAPP juga tidak akan berbincang dengan parti dari luar Sabah dan menegaskan GRS perlu bertanding di semua 73 kerusi DUN Sabah.
Lee berkata, terlalu awal untuk membuat kesimpulan sama ada GRS tidak akan bekerjasama dengan parti luar memandangkan kerajaan Sabah diketuai Hajiji Noor turut disokong Pakatan Harapan (PH) terdiri daripada PKR serta DAP.
“Masih terlalu awal membicarakan hal itu, harus fokus khidmat kepada rakyat,” katanya sambil menambah GRS pastinya akan berbincang dengan rakan gabungannya menjelang PRN.
“Sama ada kerusi DAP misalnya tidak ditandingi oleh mana-mana parti komponen GRS.”
Tony Paridi Bagang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah pula berkata kenyataan Yong itu bukan hanya isyarat kepada parti nasional, sebaliknya turut ditujukan kepada parti tempatan untuk menyatakan hasratnya mahu bertanding.
“Beliau (Yong) berhak menyatakan hasratnya atas kapasiti peribadi, ini mungkin boleh dibaca sebagai strategi politiknya untuk meneliti reaksi pelbagai pihak sama ada dalam GRS mahupun parti luar seperti PN,” katanya.
Salawati Mat Basir dari Universiti Kebangsaan Malaysia pula menyifatkan kenyataan Yong itu “langkah ke belakang” kerana semua wajar diberi peluang bertanding dalam pilihan raya.
“Tak wajar untuk parti tempatan sahaja bertanding di negeri tersebut…atas nama pilihan raya, itu bermaksud semua parti boleh masuk Sabah wajar ambil bahagian.
“Sabah pun sebahagian daripada Malaysia, kenapa nak ada pengasingan?” katanya.