
PETALING JAYA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menafikan dakwaan kira-kira 54,000 warga China dalam proses diberikan kerakyatan Malaysia untuk menjadi “pengundi DAP”.
Katanya, kenyataan Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail pada 9 Jan lalu berhubung 54,000 permohonan kerakyatan dimanipulasi.
“Jumlah 54,000 permohonan tersebut merujuk permohonan dari 2017 hingga 2022 meliputi pelbagai permohonan di bawah peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dan dari pelbagai latar belakang keturunan dan negara asal,” katanya dalam kenyataan.
Sejak 2019 hingga 31 Julai tahun ini, katanya, hanya 45 warga China diberikan kewarganegaraan Malaysia.
JPN berharap kenyataan ini dapat menjelaskan kekeliruan dan keresahan orang ramai berhubung dakwaan disebarkan di media sosial.
“Penganugerahan taraf kewarganegaraan merupakan anugerah tertinggi oleh kerajaan Malaysia kepada mereka yang benar-benar layak dan memenuhi syarat.
“Proses yang dilaksanakan JPN tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan dan selari dengan undang-undang yang berkuat kuasa bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan negara terjamin.” JPN, kerakyatan, warga China, pengundi DAP