KPM keluar garis panduan baharu tangani buli, gangguan seksual

KPM keluar garis panduan baharu tangani buli, gangguan seksual

Kementerian Pendidikan menegaskan tiada kompromi kepada buli dan gangguan seksual di semua institusi pendidikan kendaliannya.

Ketika ini Kementerian Pendidikan menyediakan tiga saluran untuk menyalurkan maklumat berkaitan kes buli dan gangguan seksual. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengeluarkan garis panduan menangani buli dan gangguan seksual baharu dalam masa terdekat bagi menggantikan Ordinan Pelajaran 1957, Peraturan-Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah 1959).

Dalam kenyataan, KPM meminta semua pihak termasuk ibu bapa, pentadbir institusi pendidikan, guru, dan masyarakat sama terlibat memerangi isu buli dan gangguan seksual.

“KPM sentiasa berusaha memastikan keselamatan, kesejahteraan dan kebajikan seluruh warganya dipelihara. Oleh itu, tiada kompromi kepada buli dan gangguan seksual di semua institusi pendidikan bawah KPM,” katanya.

Ketika ini, KPM menyediakan tiga saluran untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kes buli dan gangguan seksual yang berlaku.

“Saluran tersebut ialah talian khas aduan buli, e-mel: [email protected] dan aduan buli di Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA).

“Maklumat aduan buli dan gangguan seksual boleh diakses melalui portal aduan buli KPM di https://www.moe.gov.my/aduanbuli.”

Kementerian berkata semua jabatan pendidikan negeri, pejabat pendidikan daerah dan institusi pendidikan diarahkan untuk mematuhi tahap kesegeraan penyampaian maklumat dan laporan serta tindakan berkaitan buli dan gangguan seksual kepada KPM berdasarkan tempoh hari ditetapkan iaitu pada kadar 1:3:7 hari.

“Rekod penyelesaian aduan buli dan gangguan seksual di institusi pendidikan bawah KPM menunjukkan lebih 90% kes berjaya diselesaikan dalam tempoh kurang daripada 15 hari,” menurut kementerian itu.

“KPM sentiasa proaktif dalam menangani kes buli dan gangguan seksual di semua institusi pendidikan bawah KPM bagi menjamin ekosistem selamat untuk guru, murid dan seluruh warga institusi pendidikan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.