
GEORGE TOWN: Pulau Pinang bersetuju membina beberapa stesen pertama LRT di bawah tanah berbanding ditinggikan dari darat, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.
Katanya, susulan pembentangan terbaharu Kementerian Pengangkutan dan MRT Corp semalam, cadangan bahagian bawah tanah itu terletak di pusat bandar George Town.
Satu daripada stesen bawah tanah itu akan menjadi persimpangan utama untuk laluan kereta api dasar laut masa depan yang menghubungkan pulau itu dengan Seberang Perai.
“(Kementerian Pengangkutan dan MRT Corp) mencadangkan bawah tanah bagi menyokong sambungan rentas laluan. Stesen bawah tanah di pulau ini akan menjadi persimpangan (ke laluan kereta api dasar laut dengan Seberang Perai),” katanya dalam sidang media di Bayan Baru.
Chow berkata, bawah cadangan itu, sambungan dasar laut akan menjadi sebahagian daripada fasa seterusnya laluan LRT yang akan dipanjangkan ke seluruh Seberang Perai, dari Kepala Batas ke Simpang Ampat.
Mei lalu, Putrajaya mengumumkan projek 27 stesen LRT Pulau Pinang akan dibiayai sepenuhnya Putrajaya melalui MRT Corp, termasuk sambungan laluan dari Komtar ke Tanjung Bungah. Stesen Komtar akan menjadi stesen utama dan terletak di sebelah Sia Boey, pasar lama bersebelahan Komtar.
Kos asal projek LRT dianggarkan RM10 bilion yang akan dibiayai kerajaan Pulau Pinang melalui penambakan laut.
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook dilaporkan berkata, kerja-kerja projek menghubungkan Bayan Lepas dekat lapangan terbang ke Tanjung Bungah dijangka bermula akhir tahun ini dan siap dalam tempoh lima tahun.