
KOTA TINGGI: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang mempertimbangkan pelaksanaan program peringkat ijazah dalam bidang teknikal dan vokasional (TVET) di semua politeknik.
Menterinya, Khaled Nordin berkata cadangan itu dipertimbangkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) kerana melibatkan penyediaan tenaga pakar, akademik dan sebagainya.
“Kita akan beri perhatian dalam TVET kepada soal penyediaan tempat pemahiran, pemahiran semula dan peningkatan kemahiran. Itu sangat penting kerana ia sebahagian daripada usaha kita menyedia, memperkukuh dan memperkasakan penawaran pembelajaran sepanjang hayat.
“Dari segi kebolehpasaran, graduan TVET lebih baik daripada pelajar biasa (akademik) yang mana kedua-duanya melepasi 90%. Jadi, tumpuan kita hendak melihat pemadanan pembelajaran dengan kerja dan gaji lebih baik,” katanya selepas Program Kekal Sihat KPT Prihatin Madani di Dewan Sri Tanjung, Tanjung Sedili, di sini.
Khaled turut menegaskan hasrat kementeriannya memperluaskan pengajian itu bagi menarik lebih ramai pelajar.
“Memang saya sudah nyatakan terutama untuk RMK13, saya ingin melihat peluasan dan pembesaran pembukaan cawangan-cawangan kampus, terutama Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) dan kita perkukuhkan lagi politeknik yang ada.”
Setakat ini, MTUN terdiri daripada empat gabungan universiti berasaskan teknikal, iaitu Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Tun Hussein Onn (UTHM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).