
PETALING JAYA: Timbalan Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM) Ezam Noor membidas tindakan Exco Pulau Pinang Zairil Khir Johari mengancam menyaman seorang pemimpin PRM negeri.
Semalam, Zairil yang juga naib pengerusi DAP Pulau Pinang mengeluarkan surat tuntutan kepada Naib Pengerusi PRM Pulau Pinang Ravinder Singh dan dua individu lain atas dakwaan dikatakan “palsu dan fitnah” terhadapnya dalam klip video yang disiarkan di media sosial.
Menyifatkan ancaman saman fitnah itu sebagai “angkuh”, Ezam berkata, dakwaan Ravinder membabitkan kepentingan awam dan “seharusnya dijawab dengan hujah politik”.
“PRM kesal dengan budaya politik saman menyaman yang semakin berleluasa akhir-akhir ini. Parti politik besar dan pemimpin besar yang tentunya dengan sumber dana besar menggunakan khidmat peguam yang mahal untuk menutup mulut lawan politik,” kata Ezam dalam kenyataan.
“Zairil yang juga seorang ahli politik yang mewakili sebuah parti politik yang sah, dan lebih lagi mempunyai kedudukan dalam kerajaan negeri, mempunyai segenap kemudahan yang ada untuk menjawab dakwaan Ravinder juga secara terbuka.
“Apakah kerajaan madani itu bermakna menutup ruang berhujah secara terbuka dan mempamerkan keangkuhan dengan kuasa dan wang yang ada menggunakan jalan menekan dan menyaman pihak lawan?”
Dalam surat tuntutannya, Zairil meminta Ravinder, aktivis warisan Khoo Salma Nasution, dan penerbit video, Zaidi Dali, memohon maaf dan menarik balik kenyataan “palsu dan memfitnah” yang dibuat oleh mereka.
Antara kenyataan dalam video itu mendakwa Zairil menyalah guna kuasa dengan memberikan kontrak kepada sebuah syarikat persendirian, kata pembantu Zairil, Farid Maulud.
Bagaimanapun, Zaidi telah menarik balik kenyataannya dan memohon maaf secara terbuka, sementara Ravinder dan Khoo diberi tempoh 14 hari untuk menarik balik kenyataan itu atau berdepan tindakan saman fitnah, kata Farid.
Ravinder semalam mengesahkan menerima surat tuntutan itu dan berkata, ia akan dibalas peguamnya.
“Perkara ini berkait dengan kepentingan awam dan kebebasan bersuara,” katanya.