
PETALING JAYA: Melantik bekas pemaju hartanah memegang portfolio perumahan dan alam sekitar jelas menimbulkan konflik kepentingan, kata Aliran.
NGO itu berkata menyerahkan dua portfolio tersebut kepada seorang individu akan mengundang masalah susulan kebimbangan bagaimana isu terkait alam sekitar dengan pembangunan perumahan perlu ditangani.
Aliran menggesa Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow merombak dua portfolio berkenaan dan memastikan ia diuruskan berasingan.
Katanya, kedua-dua portfolio itu sepatutnya diletakkan di bawah kawal selia exco berbeza dari parti pemerintah lain dalam kerajaan negeri.
Adun Perai, S Sundarajoo dilantik sebagai exco perumahan dan alam sekitar oleh Chow awal minggu lalu. Beliau merupakan bekas ketua pegawai operasi Eco World.
Penggabungan portfolio perumahan dan alam sekitar pertama kali digabungkan selain diletakkan di bawah seorang exco dalam kerajaan Pulau Pinang.
Dalam pada itu, Aliran berkata walaupun Sundarajoo sudah melepaskan semua kepentingan dalam Eco World, persepsi berhubung potensi konflik kepentingan akan terus berbangkit.
Aliran berkata, alasan kerajaan Pulau Pinang melantik Sundarajoo sebagai exco bagi dua portfolio tersebut mengambil kira pengalamannya dalam pembangunan hartanah tidak kukuh kerana kerajaan negeri boleh memanfaatkan kepakaran luar apabila perlu.
“Pintu pusingan daripada perniagaan kepada politik dan sebaliknya adalah amalan yang tidak patut digalakkan.
“Wujud sudut lain di Pulau Pinang, yang mana tanah rata, kawasan berbukit sensitif, dan perairan nelayan terletak berdekatan. Dalam keadaan ini, sesetengah projek perumahan sering melibatkan pertimbangan ekologi dan membangkitkan kebimbangan penduduk berhampiran.
“Jadi, kombinasi portfolio perumahan dan alam sekitar di bawah seorang (exco) dilihat bermasalah kerana mengurangkan semak dan imbang dalam kerajaan,” katanya.
Rabu lalu, Sundarajoo menolak dakwaan konflik berkepentingan sambil menyatakan beliau telah meninggalkan sektor hartanah tujuh bulan lalu.
Katanya, beliau hanya menjadi pengarah di satu daripada anak syarikat Eco World, selain tidak mempunyai pegangan apa jua saham dalam syarikat senaraian itu.
FMT sedang mendapatkan ulasan lanjut Chow.