
PETALING JAYA: Kerajaan Terengganu akan menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan diperkenalkan Putrajaya, bukan seperti dicadangkan Pemuda Perikatan Nasional (PN), kata Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar.
Samsuri berkata, pihaknya akan menggunakan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini iaitu “Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan” dan logo Malaysia Madani.
Logo dan tema itu diumumkan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, pada Mei lalu.
“Segala persediaan telah dibuat untuk menganjurkan sambutan dan kita akan meneruskan dengan keputusan sebelum ini iaitu untuk menggunakan logo dan tema sama dengan kerajaan pusat,” katanya kepada FMT.
Semalam, Ketua Pemuda PN Ahmad Fadhli Shaari memperkenalkan logo Hari Kebangsaan PN berteraskan bunga raya dengan lima kelopak yang menjadi bunga kebangsaan digabungkan elemen warna pada Jalur Gemilang dengan tema “Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera”.
Fadhli berkata, logo dan tema itu bakal digunakan untuk ucapan pimpinan PN sempena Hari Kebangsaan, namun akan mencadangkannya diperluaskan ke Kedah, Kelantan, Terengganu serta Perlis yang ditadbir gabungan itu.
Terdahulu, Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli berkata pihaknya menolak menggunakan logo Hari Kebangsaan diperkenal Putrajaya kerana mempunyai perkataan “Malaysia Madani”, namun tidak mempunyai masalah dengan tema “Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan”.