
PETALING JAYA: Sejarah akan berpihak kepada Ismail Sabri Yaakob susulan keputusan dibuatnya sepanjang 15 bulan menjadi perdana menteri, kata bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.
Khairy berkata, keputusan Ismail menandatangani memorandum persefahaman dengan pembangkang ketika itu membawa kepada kestabilan politik.
Bekas menteri kesihatan itu berkata, Ismail juga mempunyai perancangan jelas berkaitan pembukaan semula industri berikutan sekatan pergerakan dikenakan pada kemuncak pandemik Covid-19.
“Dia punya slogan pun bukanlah slogan yang mengancam mana-mana pihak. Keluarga Malaysia, maksud saya bagaimana ia bersikap neutral.
“Dan juga beberapa reformasi yang dia telah bawa dalam bentuk undang-undang di Parlimen. Saya fikir sejarah akan berpihak kepada dia,” katanya dalam podcast Keluar Sekejap disiarkan semalam.
Khairy bagaimanapun tidak menjelaskan secara terperinci bentuk pembaharuan yang dibuat, namun ketika Ismail menerajui, kerajaan ketika itu meluluskan Akta Anti-Lompat Parti dan peruntukan sama rata turut diberikan kepada semua Ahli Parlimen.
Ismail adalah perdana menteri kesembilan, menggantikan Muhyiddin Yassin yang berundur pada Ogos 2021 selepas Umno menarik sokongan terhadapnya.
Khairy berkata, Ismail mempunyai pelan hala tuju yang jelas untuk membawa negara keluar daripada kemelut Covid-19, termasuk pembukaan semula ekonomi.
“Ismail beri kami mandat untuk melaksanakan, dan saya rasa oleh kerana persekitaran politik, ramai yang lupa tentang usaha yang kita telah buat untuk meletakkan Malaysia pada keadaan yang kukuh pada 2022,” katanya.