
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menambah peruntukan geran sebanyak RM6 juta untuk program kewangan sosial iTekad bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), khususnya golongan B40, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata ini akan menjadikan jumlah bantuan keseluruhan iTekad tahun ini sebanyak RM10 juta, meningkat daripada RM4 juta yang diperuntukkan menerusi Belanjawan 2023.
Katanya kerajaan bertekad menghapuskan kemiskinan negara dan mengurangkan jurang antara golongan kaya serta miskin.
“Kalau (iTekad) sudah berjaya dengan RM4 juta dana awalan Kementerian Kewangan, (beserta) andaian lebih banyak penyertaan bank dan ada lagi dana tambahan dari Bank Negara (BNM), maka saya boleh tambah daripada RM4 juta kepada RM10 juta untuk tahun ini,” katanya dalam Majlis Jalinan Kerjasama iTekad di sini.
iTekad merupakan program penaung yang diwujudkan oleh BNM bagi membantu usahawan mikro berpendapatan rendah memperkukuh pengurusan kewangan dan kepintaran dalam perniagaan ke arah menjana pendapatan yang berterusan.
Setiap program iTekad menggabungkan penyediaan aset perniagaan dibiayai instrumen kewangan sosial seperti derma, pelaburan impak sosial, zakat dan wakaf tunai dengan kewangan mikro, berserta latihan kewangan dan perniagaan berstruktur.
Dalam pada itu, Anwar turut menyeru lebih banyak institusi perbankan menyertai inisiatif iTekad dalam masa terdekat.
“Setakat ini, kita ada 11 bank saja yang menyertai program iTekad dan saya harap dalam beberapa bulan ini, angka tersebut dapat mencecah 20 institusi perbankan.
“Kalau tidak, saya hendak minta untuk melihat senarai yang belum masuk dan kemudiannya dikembangkan kepada sektor-sektor swasta.”
Beliau berkata penglibatan bank penting kerana kerajaan akan lebih yakin dari segi kecekapan, kekerapan dan impaknya apabila bank pusat serta bank lain menguruskan inisiatif itu bersama.
“Saya juga teliti tahap kejayaannya kerana dari segi kos pengurusan, ia lebih rendah daripada beberapa agensi dikendali pihak kementerian dan dari segi tekanan kewangan kepada kerajaan juga jauh lebih kurang.”
Justeru, beliau menegaskan penyertaan pihak perbankan penting untuk menjadikan inisiatif iTekad tonggak kejayaan sektor perbankan di Malaysia.