
GEORGE TOWN: Cadangan melaksanakan laluan LRT bawah tanah di kawasan pusat bandar Pulau Pinang seterusnya disambung ke Seberang Perai menerusi terowong bawah laut dipandang positif oleh golongan pakar, namun dengan waspada.
Walaupun dianggap langkah elok bagi menambah baik pengangkutan awam dan “menyelamatkan” landskap jalanan George Town yang berharga, mereka turut melihat pembinaan laluan dan stesen bawah tanah sebagai sesuatu yang mencabar dari aspek kejuruteraan.
Lim Thean Heng, bekas ketua jurutera yang menjaga Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang berkata, laluan bawah tanah akan menelan kos tiga hingga empat kali lebih tinggi berbanding landasan LRT yang ditinggikan.
Selain itu, katanya, projek berkenaan juga akan mengambil masa lebih lama untuk disiapkan.
Lim berkata, menggali terowong menembusi George Town, khususnya di kawasan dicadangkan untuk stesen Komtar, berhampiran pasar Sia Boey, mencabar dari aspek kejuruteraan kerana keseluruhan kawasan itu terdiri daripada tanah basah bercampur tanah liat, dan banyak air bawah tanah.
Katanya, kerja pembinaan mungkin melemahkan struktur bangunan warisan di kawasan itu dan mengakibatkan retakan pada dinding bangunan kerana air bawah tanah perlu disalurkan keluar agar terowong dapat digali.
Beliau berkata, ini akan mengakibatkan tahap air bawah tanah menurun di kawasan sekitar bagi memastikan kawasan digali kering sementara kerja pembinaan dilaksanakan.
“Contoh baik adalah ketika penggalian aras bawah tanah Prangin Mall pada 1980-an,” katanya.
“Banyak bangunan warisan di sekitarnya mengalami keretakan. Kebanyakannya menggunakan cerucuk bakau yang perlu sentiasa berada di bawah muka air bawah tanah, atau ia akan mereput.”
Katanya lagi kepada FMT, tidak dapat dipastikan sama ada bangunan-bangunan warisan ini didirikan atas cerucuk.
Lim juga berkata, cerucuk bakau yang digunakan terutamanya sebagai asas bagi kebanyakan rumah kedai di George Town mesti sentiasa dalam keadaan basah; jika tidak, ia akan rosak. Cerucuk ini lambat laun akan reput jika air bawah tanah disalurkan keluar, katanya.
Bagaimanapun, Ong Siou Woon daripada Penang Institute percaya laluan bawah tanah perlu dilaksanakan, malah berbaloi. Katanya, dengan cara ini, kerajaan negeri tidak perlu membeli tanah pada harga tinggi untuk melaksanakan projek berkenaan.
Ong berkata, sekatan ketinggian akibat status George Town sebagai Tapak Warisan Dunia menjadikan stesen atas jalan dan bawah tanah pilihan lebih baik.
Malah, katanya, stesen bawah tanah akan mengekalkan landskap jalan George Town dan mengurangkan kesesakan lalu lintas ketika pembinaan dilakukan.
“Membina landasan kereta api mungkin menyusahkan, jadi penting agar perancangan awal dibuat. Jika dirancang dan dipantau dengan baik, kita mampu menyelesaikan sebarang masalah yang timbul,” katanya perancang bandar itu kepada FMT.
Sementara itu, Farhan Sadullah daripada Universiti Sains Malaysia melihat sambungan bawah laut antara pulau itu dengan Seberang Perai sebagai idea yang bagus, memandangkan pengangkutan awam yang boleh dipercayai diperlukan bagi meningkatkan mobiliti. Katanya, terowong sama boleh digunakan untuk landasan kereta api dan jalan raya.
“Integrasi rangkaian boleh dilakukan secara praktikal. Saya tidak lihat sebarang masalah besar (timbul),” katanya.
Pulau Pinang sebelum ini bersetuju dengan cadangan Kementerian Pengangkutan dan MRT Corp berhubung beberapa stesen LRT dibina bawah tanah, dengan sambungan rentas saluran ke Seberang Perai juga dalam perancangan.
Seberang Perai juga akan mempunyai laluan LRT yang dijangka meliputi Kepala Batas di utara sehingga Simpang Ampat.