
PETALING JAYA: DUN Simpang Jeram dijangka menjadi pintu masuk serta pencetus kepada gelombang PN untuk bertapak di Johor pada pilihan raya akan datang, menurut Sanusi Md Nor.
Justeru, kata ketua pengarah pilihan raya PN itu, pengundi di kawasan itu perlu membuat eksperimen untuk memastikan gelombang ini terus kekal sebagai isyarat penting kepada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
“Gelombang yang tercetus dalam PRN lalu akan melanda Johor sampai ke Singapura. Saya dah habaq (beritahu) tadi sampai ke hujung.
“Johor tidak terkecuali dengan permulaannya di sini (Simpang Jeram) sebelum kita mengambil alih negeri dalam tempoh dua tahun setengah lagi,” katanya, lapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Jentera dan Pengisytiharan Calon PN di Markas PAS Bakri malam tadi, yang turut dihadiri Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, Pengerusi PN Johor Sahruddin Jamal serta Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan.
Sanusi yang juga menteri besar Kedah berkata, PRK kali ini amat besar ertinya kepada politik Malaysia bukan sahaja untuk rakyat Johor tetapi memberi isyarat supaya Malaysia dapat diselamatkan daripada tangan rakus.
“Isyarat akan bermula di Simpang Jeram, Insya-Allah bangsa Johor boleh mengajar penipu untuk berhenti daripada berkata-kata,” katanya.
“Saya berharap Simpang Jeram akan menerima aura dari enam negeri (Terengganu, Kelantan, Kedah, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor).
“Saya yakin Simpang Jeram serta Pulai ini akan menjadi penentu penting untuk kita hantar mesej kepada perdana menteri.”
DUN Simpang Jeram akan menghadapi PRK pada 9 Sept, bersama Parlimen Pulai, susulan kematian penyandangnya, Salahuddin Ayub, pada 23 Julai lepas.
Tarikh penamaan calon ditetapkan pada Sabtu ini, sementara pengundian awal pada 5 Sept.