
PETALING JAYA: Seorang aktivis pendidikan berpendapat seseorang pelajar akan ketinggalan jika gagal menguasai dan masih mengharapkan alat terjemahan dalam membantu pemahaman bahasa Inggeris.
Pengerusi Kumpulan Tindakan Ibu Bapa dalam Pendidikan Melaka (Magpie), Mak Chee Kin, berkata kegagalan itu terbukti dengan masa lebih lama diperlukan untuk menterjemah atau menukar istilah khususnya bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris.
“Dalam erti kata lain, pelajar lain menggunakan ‘highway’ tetapi pelajar kita masih menggunakan jalan kampung lama,” katanya.
Mak bersetuju dengan cadangan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad supaya kerajaan mempertimbangkan mengajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris seperti dilaksanakan pada awal 2003.
Katanya, sikap kerajaan yang kurang serius dalam pelaksanaan dasar sehingga menyebabkan program dwibahasa (DLP) berstatus tergantung antara punca segelintir pelajar “gagal” dalam bahasa Inggeris.
Bagaimanapun, Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) Mohd Azizee Hasan berkata, kemungkinan bilangan pelajar yang berminat untuk mengambil subjek teras iaitu sains dan matematik akan “menurun” jika cadangan berkaitan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dilaksanakan semula.
“Tiada satu bukti konkrit mengatakan pelajar mengambil subjek sains dan matematik dalam bahasa Inggeris itu cemerlang. Ini kerana sebahagian negara di dunia ini pun hebat yang mana mereka menguasai kedua-dua subjek tersebut menggunakan bahasa ibunda,” katanya.
Katanya, penting bagi kerajaan memperkukuh subjek sains dan matematik, pada masa sama meningkatkan pemantapan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar.
“Ini antara dua perkara perlu dibezakan. Kita sudah ada dasar DLP dan tinggal lagi ialah bagaimana kita nak perkukuh sains dan matematik melaluinya. Jika tidak, kebimbangan kita usaha dalam meningkatkan bilangan pelajar dalam subjek tersebut akan terjejas,” katanya.
Manakala pakar pendidikan, Anuar Ahmad dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, faktor kelemahan penguasaan bahasa Inggeris antara sebab utama timbulnya semula cadangan dasar “sains dan matematik dalam BI”.
“Sudahlah pengajaran bahasa Inggeris tidak berkesan, sekarang lagi (gabung) nanti sains dan matematik juga jadi tidak ketentuan. Itu tidak tepat,” katanya.
Katanya, langkah perlu diambil kerajaan adalah fokus kepada penyelesaian isu kurangnya keberkesanan pengajaran dan pembelajaran (PdP) bahasa Inggeris yang cukup ketara.
“Perkemas PdP serta memperkasa guru bahasa Inggeris menerusi latihan. Beri peruntukan lebih dalam menyediakan sumber bahan pengajaran dan meningkatkan masa belajar subjek itu di sekolah.
“Lakukan apa juga untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris anak-anak kita tanpa perlu masuk kepada subjek sains dan matematik,” katanya.