
PETALING JAYA: Sebarang pindaan terhadap Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) perlu sejajar piawaian hak asasi manusia antarabangsa, kata Ahli Parlimen Asean untuk Hak Asasi Manusia (APHR).
APHR menggesa Ahli Parlimen memastikan pindaan itu progresif apabila rang undang-undang mengenai cadangan pindaan itu dibawa ke Dewan Rakyat.
“Ini penting bagi mengelakkan undang-undang itu disalahgunakan terhadap pembela hak asasi manusia dan Ahli Parlimen sendiri,” katanya dalam kenyataan.
Ini menyusul kenyataan Timbalan Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, Ramkarpal Singh yang berkata kerajaan sedang mempertimbangkan pindaan terhadap Seksyen 13 Sosma berkaitan tahanan Sosma dibenarkan diikat jamin.
Di bawah Sosma, tertuduh dinafikan ikat jamin dan perlu kekal dalam penjara sementara menunggu keputusan akhir prosiding mahkamah. Ini kerana, pertuduhan itu dikatakan kesalahan menyentuh keselamatan negara.
Ramkarpal berkata, pemansuhan undang-undang itu tiada dalam perancangan, tetapi tumpuan kerajaan adalah menambah baik akta itu.
APHR kecewa dengan kegagalan Putrajaya untuk komited memansuhkan undang-undang itu yang membenarkan penahanan tanpa bicara.
“Kami menaruh harapan tinggi kepada kerajaan semasa, dengan menjangkakan ia akan peneraju dalam demokrasi serta hak asasi manusia di Asia Tenggara.
“Malangnya, peristiwa baru-baru ini membuatkan kita bimbang dengan tahap kebebasan di negara ini, khasnya kebebasan bersuara yang semakin terancam.”
Ia memetik tindakan polis memanggil aktivis hak asasi manusia, Arun Doraisamy kerana mengkritik tindakan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengislamkan seorang lelaki Hindu kepada Islam.
“Di bawah demokrasi sebenar, rakyat boleh mempertikaikan pemimpin mereka tanpa rasa takut terhadap tindakan balas, justeru siasatan sedemikian tidak wajar.”