
PETALING JAYA: Kementerian Sumber Manusia akan menyiasat empat kontraktor selepas terdapat laporan berhubung amalan buruh tidak beretika di kilang panel solar di Kulim, Kedah yang dimiliki sebuah syarikat Amerika Syarikat (AS).
Menterinya V Sivakumar berkata empat kontraktor yang dilantik oleh syarikat First Solar itu tidak mencapai standard “Responsible Business Alliance” (RBA)
“Ini termasuk pengambilan kos rekrutmen yang tidak beretika sama ada di Malaysia atau di negara asal, pemegang pasport oleh majikan dan penahanan gaji,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, kementerian akan menjalankan siasatan lanjut terhadap empat kontraktor itu yang terbabit menyediakan perkhidmatan kawalan keselamatan, pembersihan, penyelenggaraan bangunan dan pergudangan, selepas mendapat nama syarikat yang terlibat.
Sivakumar berkata, First Solar memerlukan kebenaran daripada pejabat korporat AS untuk memberi sebarang maklumat berkenaan empat kontraktor syarikat yang dilantik.
Katanya, First Solar juga mengambil langkah untuk memastikan pekerja asing itu dibayar gaji dan passport dipulangkan kepada mereka.
Sivakumar juga berkata “Reimbursement Plan” turut dilaksanakan bersama wakil RBA untuk membantu kontraktor dalam usaha membayar semula kos rekrutmen di negara asal.
First Solar juga memastikan kontrak perkhidmatan dan polisi penggajian kontraktor dikemaskini agar ketidakpatuhan yang disenaraikan tidak berulang di masa hadapan.
Pada 16 Ogos lalu, syarikat yang berpangkalan di Arizona, AS itu berkata satu audit operasi pembuatan membongkarkan amalan buruk tidak beretika di kilangnya di Malaysia, menyebabkan saham syarikat itu jatuh kira-kira 5%.