
PETALING JAYA: Menteri Besar Selangor Amirudin Shari menyaman Sanusi Md Nor kerana memfitnah selepas menteri besar Kedah itu mendakwanya terlibat dalam kontroversi berkait projek pembersihan Sungai Klang.
Menurut dokumen yang dikeluarkan semalam, Amirudin memfailkan saman fitnah itu menerusi Tetuan Haijan Omar & Co di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Menerusi program “Jelajah Mega PN Terbaik Sayangi Kedah Sejahtera” di Jitra pada 2 Ogos, Sanusi mendakwa Amirudin akan memberikan 600 hektar tanah kepada ahli perniagaan Vincent Tan, yang didakwa berhasrat membangunkan projek bernilai RM10 bilion.
Amirudin mengeluarkan surat tuntutan kepada Sanusi pada 9 Ogos, menuntutnya memohon maaf dalam tempoh 48 jam, serta ganti rugi RM10 juta.
Sementara itu, Vincent memfailkan saman serupa terhadap Sanusi.
Peguam mewakili hartawan itu mengeluarkan surat menuntut permohonan maaf serta ganti rugi RM200 juta daripada Sanusi.
Menurut Amirudin, dakwaan Sanusi itu membayangkan bahawa beliau menyalahgunakan kuasanya dalam menyebabkan 242.8 hektar tanah negeri bernilai RM10 bilion dihadiahkan secara percuma kepada syarikat Tan, Berjaya Land Berhad.
Hujahnya lagi, Sanusi dengan semberono mengeluarkan dakwaan palsu “bermotifkan politik” berniat untuk “memburukkannya” menjelang PRN 12 Ogos.
Terdahulu, Amirudin menyifatkan dakwaan Sanusi itu sebagai percubaan terdesak untuk mengalih persepsi selepas gagal menjawab pelbagai dakwaan berkaitan isu kecurian unsur nadir bumi (REE) di Kedah.
Awal bulan ini, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan gambar Sanusi bersama seorang warga China yang didakwanya dibawa masuk oleh MBI Kedah untuk melombong REE.
Sanusi dalam responsnya berkata, salah seorang daripada warga China itu mempunyai urusan dengan MBI Kedah dan perjanjian untuk melombong REE sebelum beliau menjadi menteri besar.
Beliau turut mendakwa Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini telah memperkenalkan hartawan Indonesia Riza Chalid kepada prospek perlombongan REE di Kedah.
Katanya, Anwar dan Riza pergi ke Kedah beberapa minggu sebelum DUN dibubarkan pada Jun.
Bagaimanapun, Anwar berkata, pertemuannya dengan Riza tiada kaitan dengan perniagaan perlombongan REE.