
SEREMBAN: Seorang anggota Rela meninggal dunia selepas rebah ketika perbarisan lintas hormat sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-66 peringkat Negeri Sembilan di Dataran Majlis Bandaraya Seremban, pagi tadi.
Ketua Polis Seremban Arifai Tarawe berkata siasatan awal mendapati lelaki berusia 53 tahun itu jatuh dan tidak sedarkan diri kira-kira 10 pagi, sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar.
“Bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan masalah jantung dan pemeriksaan pada tubuh badan mangsa mendapati tiada unsur jenayah dikesan.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata sesiapa yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian berkenaan boleh menghubungi pegawai penyiasat Adi Khusaini Saripudin 012-7707282 atau IPD Seremban 06-6033222.
Dalam pada itu, Pengarah Rela Negeri Sembilan, Muhammad Faiz Musa menyifatkan pemergian Muhammad Noh Muhammad Isa yang berkhidmat selama 13 tahun sebagai kehilangan besar kepada pasukannya.
“Hari ini beliau ditugaskan sebagai ketua perbarisan untuk kontinjen Rela negeri. Allahyarham yang juga ketua jurulatih briged Rela siswa siswi Politeknik Nilai di sini dikenali dengan sifat suka membantu, terutama dalam hal berkaitan kejurulatihan kawad kaki, selain penugasan anggota.
“Bukan saja di Rela, malah Allahyarham juga sering membantu agensi lain memerlukan latihan kawad kaki…saya difahamkan pagi tadi Allahyarham sihat dan bersemangat. Beliau juga tidak pernah ketinggalan setiap kali ada perbarisan Hari Kebangsaan.”
Beliau berkata, Rela akan menyalurkan sumbangan khairat kematian kepada keluarga Noh yang bertugas sebagai penyelia di Jabatan Ukur dan Pemetaan Negeri Sembilan.