
PETALING JAYA: Seorang pemimpin pelajar berkata, mustahil untuk mengenakan garis panduan yang seragam bagi semua universiti di seluruh negara kerana setiap institusi mempunyai identiti sendiri.
Ketua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Hisyammudin Sazali berkata, beberapa universiti “lebih terbuka” berbanding yang lain, merujuk kepada tahap konservatisme.
Katanya, sama ada sesebuah universiti menggunakan pendekatan yang lebih konservatif bergantung kepada lokasi institusi tersebut.
“Jadi, mungkin mustahil ambil pendekatan pukul rata,” katanya kepada FMT.
Hisyammudin mengulas kontroversi yang tercetus ekoran tersebarnya di media sosial cadangan garis panduan baharu untuk penganjuran konsert di universiti, termasuk pengasingan penonton mengikut jantina.
Garis panduan yang dicadangkan itu juga menggesa penonton konsert berpakaian sopan dan mengelak daripada memakai pakaian yang memaparkan simbol Illuminati, pro-LGBT atau lucah. Gaya rambut punk akan diharamkan, manakala penghibur dilarang berpakaian lain jantina atau memakai pakaian yang lazim dikenakan jantina berlainan.
Bagaimanapun, Menteri Pendidikan Tinggi Khaled Nordin pada Jumaat berkata, beliau tidak tahu menahu mengenai garis panduan itu dan tiada usul dikemukakan kepadanya. Katanya, beliau lebih menyokong penuntut sendiri menetapkan garis panduan dan memantau acara tersebut.
Ketua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Yusuf Hassan Roslan mengalu-alukan gesaan Khaled agar pelajar merangka sendiri garis panduan.
Beliau berkata, beberapa pelajar ditugaskan untuk menganjurkan konsert bagi projek tahun akhir mereka.
“Dengan meminta pelajar merangka sendiri garis panduan, wakil pelajar akan melibatkan semua pihak berkepentingan untuk memastikan tiada isu timbul pada masa akan datang,” katanya.
Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (UM), yang mengkritik cadangan garis panduan itu dan sedang mencari dana untuk memulakan semakan kehakiman, percaya bahawa tidak sepatutnya wujud sebarang garis panduan.
Presidennya, Ten Kang Yeaw berkata, garis panduan tidak diperlukan kerana acara yang dianjurkan penuntut tidak menyalahi undang-undang.
“Pelajar mempunyai autonomi untuk menganjurkan sebarang acara yang mereka mahu, jadi tidak perlu garis panduan untuk kenakan sekatan,” katanya.