
PETALING JAYA: Bekas pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah menuntut penjelasan pihak pendakwaan berhubung tindakan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi atas semua 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dihadapinya.
Maria berkata rakyat, pada masa lalu, telah mengadakan protes terhadap pemimpin korup seperti bekas perdana menteri Najib Razak dan Zahid yang memalukan, dan mereka mengharapkan keadilan dapat ditegakkan.
“Pihak pendakwaan perlu memberi penjelasan penuh, jujur dan terbuka mengenai alasan mereka mendapatkan DNAA bagi kes berprofil tinggi itu,” kata bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya itu.
Maria menambah bahawa “dakwaan berat” yang dibuat terhadap Zahid dan penglibatannya dalam skandal Yayasan Akalbudi memerlukan perbicaraan yang lebih mendalam dan bukannya permohonan DNAA oleh pihak pendakwaan.
Pendahulu Maria dalam Bersih, peguam Ambiga Sreenevasan turut menyelar keputusan oleh Jabatan Peguam Negara itu.
“Satu pembaziran dana awam dalam membuktikan kes prima facie dan pembaziran semua kerja keras kakitangan Jabatan Peguam Negara,” kata aktivis hak asasi itu di Twitter.
“Rakyat perlu penjelasan. Saya harap tiada ahli politik kerajaan perpaduan yang berani membenarkan perkara ini atau sekali lagi mengatakan mereka antirasuah.”
Terdahulu, pihak pendakwaan dalam perbicaraan rasuah Zahid memohon DNAA manakala peguamnya, Hisyam Teh Poh Teik, meminta mahkamah membebaskan presiden Umno itu.
Sementara itu, Setiausaha Pemuda Amanah Melaka Ahmad Azri Abdullah turut menyuarakan kebimbangannya dengan berkata tindakan memohon DNAA oleh pihak pendakwaan menimbulkan “kebimbangan” dalam kalangan rakyat.
“Jika kepercayaan rakyat terhadap Jabatan Peguam Negara semakin terhakis, (maka) separuh daripada sistem keadilan di Malaysia akan berada dalam bahaya,” katanya kepada FMT.
Beliau juga menggesa jabatan itu dipindahkan ke jabatan baharu dan melapor kepada Parlimen.