
PETALING JAYA: Ahli jawatankuasa Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), yang mana pemilihan mereka diisytiharkan sebagai tidak sah, dituduh mengingkari perintah mahkamah yang menghalang mereka mewakili MTUC pada mesyuarat rasmi dan seminar.
Sekumpulan 11 ahli sekutu, diketuai bekas presiden MTUC Halim Mansor, memperoleh perintah itu pada 11 Ogos selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam mengisytiharkan pemilihan MTUC pada persidangan perwakilannya tahun lepas terbatal dan tidak sah.
Pada 23 Ogos, MTUC memperoleh perintah penangguhan sementara bersyarat yang mengehadkan ahli jawatankuasa semasanya kepada hanya menjalankan urusan pentadbiran harian dan menghalang mereka daripada membuat keputusan dasar bagi pihak MTUC.
Mahkamah juga memerintahkan para pegawai tidak menjalankan sebarang pemilihan baharu.
Anggota Majlis Am MTUC A Sivananthan, jurucakap kepada sekutu tersebut, berkata mereka mempunyai bukti pemimpin tertinggi mengambil bahagian dalam acara rasmi di luar pejabat walaupun dilarang berbuat demikian.
Katanya, memandangkan mahkamah telah mengisytiharkan pemilihan pemimpin MTUC terbatal dan tidak sah, mereka tidak mempunyai urusan selain memastikan pejabat berfungsi dan memastikan kakitangan dibayar gaji sehingga kes didengar pada 27 Sept.
“Bagaimanapun, mereka menghadiri mesyuarat lembaga berkaitan kerajaan seperti KWSP dan Perkeso. Mereka juga berucap di seminar dan mesyuarat atas kapasiti mereka sebagai pemegang jawatan yang dipilih secara tidak sah.
“Mereka dengan senang-lenang mengabaikan perintah mahkamah,” katanya kepada FMT.
Sivananthan berkata, kumpulannya akan mengemukakan aduan rasmi kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) sebelum memfailkan prosiding komital terhadap kepimpinan MTUC kerana menghina mahkamah.
Setiausaha Agung MTUC Kamarul Baharin Mansor enggan memberikan komen apabila dihubungi FMT.